KEMENTERIAN Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas dan menggantung serta-merta operasi bas terbabit insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang Jumaat lalu.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata pasukan petugas khas itu terdiri Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Menurut Loke, beliau sudah mengarahkan Apad segera menggantung operasi bas yang terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh JPJ.
“Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang remaja ketika beliau sedang mengecas telefon dalam bas ekspres dinaikinya.
“(Pasukan petugas khas) diaktifkan untuk menyiasat punca insiden tersebut bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin. Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral, pada Jumaat.
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abd Rahman, berkata mangsa Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ditemukan maut dalam kejadian kira-kira 6.10 petang.
Hasil pemeriksaan awal polis terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan melecur di jari sebelah kiri, disyaki berpunca daripada renjatan elektrik.
Pemeriksaan turut mendapati penghujung kabel yang digunakan cair, dan telefon bimbit mangsa berada dalam keadaan panas.