BTS Media

Siasatan perolehan tentera: 26 syarikat disiasat SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap 26 syarikat yang disyaki terlibat dalam urusan perolehan projek tentera.

Menurut sumber, pemilik kesemua syarikat berkenaan turut disiasat dan kemungkinan mereka direman bagi membantu siasatan tidak diketepikan.

Siasatan terhadap syarikat-syarikat tersebut bermula sekitar pukul 11 pagi pada hari Isnin, 5 Januari, dan dijalankan di beberapa lokasi di Lembah Klang, Perak serta Pulau Pinang.

Pada 23 Disember lalu, pegawai SPRM dilaporkan mengunjungi Kementerian Pertahanan bagi meneliti projek yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka, termasuk perolehan yang dijalankan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat. Sehari kemudian, pada 24 Disember, tiga individu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan siasatan tersebut dan memaklumkan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pada 22 Disember, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa pemeriksaan forensik terhadap dokumen yang diterimanya secara anonim menunjukkan wujud deposit bulanan berjumlah puluhan ribu ringgit ke dalam akaun yang didakwa mempunyai kaitan dengan seorang pegawai kanan tentera serta ahli keluarganya.

-BTSMedia.my

Leave a Comment