BTS Media

Dadah RM18,534 ditemui dalam lokap polis, anggota antara tiga ditahan

PENEMUAN dadah bernilai RM18,534 dalam sebuah lokap polis di Lumut, Perak membawa kepada penahanan tiga individu, termasuk seorang konstabel polis, pada hari Selasa.

Ketua Polis Perak, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata dadah terbabit ditemui pada dua tahanan ketika pemeriksaan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira pukul 8.30 pagi.

Beliau berkata kedua-dua tahanan berusia lingkungan 40-an itu sebelum ini telah didakwa atas kesalahan berasingan dan didapati positif methamphetamine.

Menurutnya, pemeriksaan menemui 16 paket plastik disyaki mengandungi methamphetamine seberat kira-kira 109.54 gram, selain 16 paket plastik berisi bahan disyaki heroin dengan berat keseluruhan 110.37 gram, lapor NST.

Polis turut menemui 23 paket plastik mengandungi daun kering disyaki cannabis seberat kira-kira 142.31 gram.

Susulan penemuan itu, seorang konstabel yang bertugas di balai berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan. Alwi berkata anggota polis terbabit bagaimanapun didapati negatif dadah.

Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, masing-masing berkaitan kesalahan mengedar dan menggunakan atau mengambil dadah.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39B, seseorang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan. Bagi Seksyen 15(1)(a), pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM5,000.

-BTSMedia.my

Leave a Comment