BTS Media

Sri Lanka muflis, kehabisan bekalan minyak

GAMBAR ATAS: By AntanO – Own work, CC BY-SA 4.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=118256424 & People’s Despatch.

 

Oleh Zainal AS Rashid

SRI Lanka hampir kehabisan petrol dan diesel selepas beberapa penghantaran dijangka ditangguhkan, kata menteri tenaga pada Sabtu sambil memohon maaf kepada pemandu atas krisis bahan api yang semakin teruk.

Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera berkata penghantaran minyak yang sepatutnya tiba minggu lepas tidak tiba, manakala yang dijadualkan tiba minggu depan juga tidak akan sampai ke Sri Lanka atas sebab masalah “perbankan”, lapor media antarabangsa.

Sri Lanka yang menghadapi masalah pertukaran asing serius untuk membiayai import produk penting, termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan kini merayu pertolongan antarabangsa.

Wijesekera berkata Ceylon Petroleum Corporation (CPC) yang dikendalikan kerajaan tidak dapat memberikan jawapan tentang bila bekalan minyak akan kembali pulih di negara pulau itu.

Beliau berkata, CPC juga telah menutup satu-satunya kilang penapisan kerana kekurangan minyak mentah.

Kilang penapisan itu mula beroperasi awal bulan ini dengan menggunakan 90,000 tan minyak mentah Rusia dibeli melalui Coral Energy yang berpangkalan di Dubai dengan terma kredit dua bulan.

Wijesekera berkata beliau kesal kerana penghantaran “petrol, diesel dan minyak mentah yang sepatutnya tiba pada awal minggu ini dan minggu depan tidak akan berlaku atas sebab masalah perbankan dan logistik”.

Apa jua bekalan yang masih ada di negara itu akan diagihkan melalui segelintir stesen minyak, katanya.

Beliau berkata keutamaan akan diberikan kepada pengangkutan awam dan stesen jana kuasa.

Wijesekera memohon maaf di atas segala kesusahan dan masalah kepada ribuan pemandu yang berbaris menunggu berjam-jam untuk giliran mengisi minyak.

Minggu lepas, kerajaan telah mengarahkan supaya semua jabatan tidak penting, termasuk sekolah ditutup selama dua minggu bagi mengurangkan penggunaan bahan tenaga.

Hospital di serata negara turut melaporkan kekurangan petugas perubatan kerana tiada petrol untuk menggunakan kenderaan ke tempat kerja.

Perdana Menteri Ranil Wikremesinginghe pada Rabu memberi amaran bahawa negara dengan penduduk seramai 22 juta itu akan terus menghadapi kesusahan untuk beberapa bulan lagi.

Beliau mengaku bahawa ekonomi Sri Lanka telah runtuh.

Oleh kerana tidak mampu membayar hutang luar sebanyak AS$51bil, kerajaan Sri Lanka telah meminta bantuan daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

-BTS Media

Leave a Comment