Oleh Zainal AS Rashid
Perdana menteri baharu Sri Lanka pada Isnin berkata negara yang dilanda krisis itu kini berdepan dengan titisan akhir bekalan petrol.
Kenyataan beliau muncul ketika menteri tenaga negara itu menasihati rakyat supaya tidak panik dan berasak untuk beratur panjang bagi mendapatkan bekalan petrol yang telah mencetuskan beberapa kejadian protes anti-kerajaan sejak berminggu, lapor akhbar Daily Mirror Sri Lanka.
Ranil Wickremesinghe, yang dilantik sebagai perdana menteri pada Khamis berkata dalam ucapannya bahawa negara itu memerlukan sebanyak AS$75 juta dalam bentuk tukaran asing dengan segera untuk membayar import bahan-bahan penting.
Beliau berkata stok yang ada buat masa ini hanya mampu bertahan untuk sehari lagi, dan memberi amaran bahawa negara itu dijangka berdepan dengan keadaan lebih sukar menjelang dua bulan akan datang.
Seluruh rakyat diperingatkan supaya bersiap sedia untuk berkorban menghadapi cabaran dalam tempoh ini.
Sementara itu, beliau berkata dua penghantaran bekalan petrol dan dua diesel menggunakan talian kredit India dijangka memberikan kelegaan dalam beberapa hari akan datang, tetapi selain bahan api negara itu juga menghadapi kekurangan 14 ubat penting.
Krisis itu mencetuskan bantahan meluas terhadap pimpinan Presiden Gotabaya Rajapaksa dan keluarganya, yang memuncak dengan peletakan jawatan abangnya Mahinda sebagai perdana menteri minggu lalu selepas pertempuran antara penyokong kerajaan dan penunjuk perasaan menyebabkan sembilan maut dan mencederakan 300 orang.
Bagi menenangkan rakyat, Gotabaya menggantikan Mahinda dengan ahli parlimen pembangkang Wickremesinghe, sebagai perdana menteri yang telah tiga kali memegang jawatan itu sebelum ini.
Penunjuk perasaan akan meneruskan protes selagi Gotabaya kekal sebagai presiden
Bagaimana pun, penunjuk perasaan berkata mereka akan meneruskan protes selagi Gotabaya kekal sebagai presiden.
Mereka menganggap Wickremesinghe sebagai pemimpin lemah dan mengecam tindakannya melantik empat menteri kabinet, kesemuanya ahli parti politik sekutu keluarga Rajapaksa.
Di Colombo, ibu kota komersial Sri Lanka, masih kelihatan barisan panjang kenderaan ‘tuk-tuk’ yang digunakan sebagai teksi menunggu giliran selama berjam-jam untuk mengisi minyak.
Keadaan di Sri Lanka yang terkesan teruk oleh pandemik Covid-19, kini berdepan dengan krisis  kenaikan harga minyak dan pemotongan cukai oleh bekas perdana menteri Mahinda dalam usaha mengambil hati rakyat.
Negara pulau itu juga sedang menjadi rebutan antara India dan China untuk mengembangkan pengaruh masing-masing dalam geopolitik serantau.
-BTS Media