Oleh Yusoff A. Shariff
Seorang bekas diplomat berusia 78 tahun dan anak lelakinya telah ditahan berikutan penemuan kira-kira 100 pokok ganja yang tumbuh di pekarangan rumah mereka di Janda Baik, Pahang.
Difahamkan, bekas diplomat itu ditahan dalam serbuan pada Sabtu (21 Mei), manakala anak lelakinya berusia 53 tahun ditahan di Shah Alam pada Isnin (23 Mei), lapor The Star.
Polis menyerbu rumah itu kira-kira pukul 6.00 petang Sabtu dan menemui lebih 100 pokok dipercayai pokok ganja ditanam di sekitar kawasan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan penahanan tersebut.
“Kami merampas pokok ganja dan barangan lain. JSJN sedang menyiasat bagaimana suspek mendapatkan bekalan untuk menanam pokok ganja itu. Kami juga menyiasat peranan kedua-dua lelaki dalam perkara ini,” katanya.
-BTS Media