BTS Media

Tiga maut dalam kemalangan dua kereta berhampiran Tangkak

TIGA orang maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM45 Jalan Muar-Segamat dekat Tangkak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak Roslan Talib berkata dua daripada mangsa yang hanya dikenali sebagai Zamri, 53, dan Aris, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa ketiga, Lim Yong Chia, 61, meninggal dunia akibat kecederaannya ketika menerima rawatan di Hospital Tangkak, lapor Bernama.

Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 10 malam.

Menurut Roslan, nahas berlaku apabila kereta yang dipandu Zamri dari arah Segamat menghala ke Kluang, hilang kawalan dan melanggar tiang lampu di pembahagi jalan, lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah SUV yang membawa Lim.

Pemandu dan tiga penumpang dalam SUV, mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital yang sama.

-BTS Media

Leave a Comment