KERAJAAN sedang mempertimbang untuk memperkenalkan undang-undang bagi mewajibkan pendaftaran MyDigital ID untuk rakyat Malaysia.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, langkah ini diteroka bagi menangani kadar penggunaan yang rendah, kerana pendaftaran bagi program itu setakat ini adalah secara sukarela.
Beliau berkata perkara ini akan dibincangkan oleh agensi-agensi berkaitan sebelum kertas cadangan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang garis masa bila perkara ini akan berlaku.
Jumlah pendaftaran MyDigital ID telah meningkat, mencecah 2.8 juta pada suku kedua tahun ini, naik daripada 1.8 juta pada suku pertama.
Peningkatan ini dikaitkan dengan pertambahan “kes-kes penggunaan” (use cases) untuk ID digital tersebut, seperti log masuk ke portal MyGOV dan aplikasi MyJPJ, serta pengesahan pemilikan kad SIM prabayar.
Dr Zaliha berkata setiap aplikasi baharu mewujudkan permintaan untuk pengesahan identiti digital, yang seterusnya mendorong pendaftaran dalam kalangan orang ramai.
Pada masa ini, MyDigital ID telah disepadukan ke dalam 35 sistem kerajaan, dengan 17 lagi dalam fasa pelaksanaan dan 21 dalam peringkat perbincangan awal.
-BTS Media