BTS Media

Kerajaan pertimbang guna khidmat peguam luar

KERAJAAN sedang melihat kemungkinan untuk mendapatkan bantuan guaman daripada peguam swasta supaya lebih ramai individu yang tidak mampu membayar yuran guaman dapat dibantu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said.

Bercakap ketika menghadiri bengkel pembaharuan institusi yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini, menteri undang-undang itu berkata kerajaan akan mengkaji semula sistem bantuan guaman.

“Perkhidmatan guaman merupakan komponen yang penting untuk menegakkan keadilan.

“Namun, bukan setiap rakyat Malaysia dapat menanggung kos guaman. Oleh itu, sistem bantuan guaman yang sedia ada iaitu Jabatan Bantuan Guaman dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan akan dikaji semula untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan (access to justice).

“Akta Bantuan Guaman 1971 akan dipinda sekiranya perlu,” katanya.

Pada sidang media itu, Azalina berkata bantuan guaman daripada peguam luar dilihat sebagai salah satu langkah penyelesaian yang akan dilakukan oleh kerajaan.

“Kita tidak boleh meletakkan semua beban kepada Jabatan Bantuan Guaman saja,” katanya.

Menurut ahli parlimen Pengerang itu lagi dia mahu melihat ada kes tertentu yang dikendalikan jabatan terbabit dapat diuruskan oleh peguam luar.

Malah kata Azalina, ia mungkin turut melibatkan kes sivil dan jenayah.

Dia berkata pada masa ini kerajaan mengalami kekurangan kakitangan, gaji yang rendah serta bebanan kerja berlebihan membabitkan peguamnya.

“Saya rasa peguam di luar sana tidak kisah melakukan kerja bagi pihak kerajaan juga,” katanya.

Itu adalah antara cadangan yang dikemukakan dalam siri libat urus di antara kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan mengenai reformasi institusi.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/651923

Leave a Comment