BTS Media

MyDigital ID perlu diperbaharui setiap tahun pula?

NOTIS untuk pengguna memperbaharui pensijilan digital MyDigital ID mereka setiap tahun dikecam orang ramai dalam media sosial.

Catatan Facebook pada 4 Dis yang dianggap pelik dan tidak perlu itu berkata, “Mesti ada yang tak tahu yang sijil digital perlu renew setiap satu tahun dari tarikh pendaftaran kan? Jangan panik, tak susah pun!

Susulan itu, ramai meminta penjelasan tentang rasional di sebalik keperluan untuk memperbaharui MyDigital ID mereka.

Di platform X pula, ada yang berkata keperluan untuk memperbaharui MyDigital ID setiap tahun menyusahkan.

Menurut maklumat daripada pihak MyDigital ID, pengguna akan diingatkan supaya memperbaharui pengenalan digital mereka dalam tempoh 90 hari dari tarikh tamat tempoh melalui notis pada aplikasi.

Jika mereka gagal berbuat demikian selepas tempoh peringatan 90 hari, mereka perlu mendaftar semula melalui aplikasi atau di kios MyDigital ID berdekatan, yang ramai tidak tahu di mana lokasinya.

Selain perlu memperbaharui setiap tahun, ramai juga yang mengadu bahawa aplikasi tersebut tidak dapat digunakan untuk pendaftaran pertama, kerana asyik tersekat setelah menerima nombor OTP, justeru menggagalkan usaha untuk melengkapkan proses pendaftaran.

MyDigital ID ialah sistem pengurusan pengenalan digital nasional, yang bertujuan untuk mengesahkan pengguna bagi transaksi dalam talian dan membolehkan mereka mendapatkan perkhidmatan kerajaan dengan hanya menggunakan satu identifikasi.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh MIMOS di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada bulan November tahun lepas.

Dalam ucapan Belanjawan 2025, Anwar berkata bahawa transformasi digital akan “bertumpu kepada MyDigital ID”, sambil menambah bahawa kerajaan akan terus meningkatkan fungsi dan pengalaman penggunanya.

Minggu lalu, dilaporkan Anwar melahirkan kekecewaan terhadap kemajuan perlahan pelancaran MyDigital ID yang hanya merekodkan 1.319 juta pendaftaran setakat 5 Dis.

-BTS Media

Leave a Comment