BTS Media

Platform MyDigital ID hadapi masalah: pengguna terima mesej ralat semasa pendaftaran

Oleh Yusoff A. Shariff

ORANG ramai yang cuba mendaftar untuk MyDigital ID mengadu menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian.

Pertanyaan melalui talian hotline MyDigital ID dimaklumkan bahawa sistem itu pada masa ini tidak berfungsi disebabkan bilangan pengguna terlalu tinggi membuat pendaftaran.

Katanya keadaan telah menjejaskan sistem tersebut sejak pukul 10 pagi hari ini (2 Okt).

Pengendali platform mencadangkan pengguna mendaftar untuk ID MyDigital di kiosk atau cuba lagi pada sebelah petang.

Untuk mendaftar melalui kiosk, orang ramai perlu pergi sendiri ke lokasi tertentu dan ini menaikkan kemarahan kerana pengguna mempersoalkan kenapa perlu berbuat demikian memandangkan akses online yang sepatutnya memudahkan proses.

Pengguna boleh mencari lokasi kiosk MyDigital ID di kawasan mereka melalui di www.digital-id.my.

Pada halaman Facebook MyDigital ID, pengguna juga menyatakan kekecewaan tentang proses pendaftaran, dengan beberapa berkongsi mesej ‘Ralat’ yang mereka terima pada aplikasi.

Pengguna juga mendakwa bahawa aplikasi itu lambat bertindak balas terhadap permintaan dan mereka gagal mendaftar walaupun mencuba beberapa kali.

Aplikasi MyJPJ mewajibkan penggunaan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi bermula pada 10 Okt.

Kesesakan talian untuk mendaftar berkemungkinan disebabkan kemas kini terkini aplikasi MyJPJ Jabatan Pengangkutan Jalan, yang mewajibkan penggunaan ID MyDigital untuk mengakses aplikasi mulai 10 Okt.

Aplikasi MyJPJ digunakan untuk mengakses maklumat seperti lesen memandu, cukai jalan dan sijil pemilikan kenderaan.

ID MyDigital ialah sistem pengurusan identiti nasional dan bentuk pengenalan digital yang didakwa dibangunkan bagi mengesahkan pengguna untuk transaksi dalam talian.

Ia membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan kerajaan dengan menggunakan satu ID, yang juga boleh digunakan oleh sektor swasta, termasuk bank.

MyDigital ID merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh MIMOS di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

-BTS Media

Leave a Comment