PEGUAM baharu bekas perdana menteri Najib Razak bagi kes SRC hari ini memaklumkan Mahkamah Persekutuan bahawa mereka akan memohon penangguhan perbicaraan rayuan terakhir pada 15 Ogos terhadap sabitannya berhubung penyelewengan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Alasannya adalah kerana mereka baharu dilantik.
Dalam surat kepada Mahkamah Persekutuan, firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners mengesahkan pelantikan sebagai peguam baharu Najib untuk kes SRC, menggantikan firma guaman Muhammad Shafee Abdullah, yang telah digugurkan.
Menurut surat itu, Hisyam Teh Poh Teik dari firma guaman Hisyam Teh sebaliknya akan menjadi peguam bela utama Najib bagi kes SRC, manakala Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam akan menjadi peguam cara baharunya.
Dalam surat sama yang ditulis oleh Liew, dia memohon Mahkamah Persekutuan untuk pengurusan kes segera pada atau sebelum 29 Julai, berikutan pertukaran pasukan pembelaan Najib dalam kes SRC dan supaya pasukan undang-undang baharu mengemukakan maklumat terkini dan mendapatkan arahan lanjut daripada mahkamah.
Liew juga memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Najib telah mengarahkan peguam pembela baharunya bagi kes SRC untuk meminta penangguhan pendengaran rayuan terakhir SRC, yang dijadualkan bermula dalam beberapa minggu lagi.
Selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 dan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Disember 2021, Najib pada 8 Disember 2021 memfailkan rayuan terakhir bagi kes SRC di Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan pada 29 April memaklumkan peguam Najib dan pihak pendakwaan bahawa ia akan mendengar rayuan SRC selama 10 hari dari 15 Ogos hingga 19 Ogos, dan dari 22 Ogos hingga 26 Ogos.
Selain memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan tentang rancangan Najib untuk meminta penangguhan pendengaran rayuan terakhir SRC pada Ogos, pasukan undang-undang baharu itu berkata mereka juga akan memohon penangguhan permohonan Najib yang difailkan sebelum ini pada 7 Jun 2022 di Mahkamah Persekutuan .
Dalam permohonannya pada 7 Jun lalu, Najib memohon untuk menambah bukti baharu dan memanggil saksi baharu bagi kes SRC bagi menyokong dakwaannya berhubung konflik kepentingan oleh hakim perbicaraan SRC Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Najib juga meminta Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan SRC terbatal dan mempertimbangkan untuk perbicaraan semula. Permohonan itu dijadualkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada 29 Julai.
Cubaan Najib pada 31 Mei untuk mendapatkan peguam Queen’s Counsel dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw bagi mewakilinya dalam rayuan akhir SRC, Mahkamah Tinggi pada 21 Julai telah menolak permohonan tersebut kerana mendapati Laidlaw tidak mempunyai kelayakan khas atau pengalaman istimewa yang belum tersedia dalam kalangan peguam tempatan di Malaysia.
-BTS Media