MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mendahului senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2023 daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Enam lagi penerima SMW terdiri daripada Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Sollehuddin Alyubi Zakaria; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Isham Ishak; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu Ahmad Fadil Shamsuddin; Timbalan Panglima Tentera Udara Lt Jen Muhamad Norazlan Aris; Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn Bhd Dr Eng Wei Chun; dan Pengarah Eksekutif Amechanus Holdings Sdn Bhd Lawrence Yeo Chua Poh, lapor Bernama.
Sementara itu, 15 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Jabatan Perdana Menteri Toisin Gantor; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Azah Hanim Ahmad; dan Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim.
Turut dikurniakan PMW, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Muhammad Azmi Zulkifli; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd Md Shah Mahmood; Presiden UMW Toyota Motor K Ravindran; dan Presiden UDA Holdings Sdn Bhd Mohd Salem Kailany.
Bagi mengiktiraf sumbangan ahli sukan kepada negara, beberapa individu turut menerima PMW, termasuk bekas pemain bola sepak kebangsaan Lim Teong Kim; bekas ratu boling negara Shalin Zulkifli; atlet bina badan Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah; dan bekas pengarah kejurulatihan Persekutuan Karate Malaysia P Arivalagan.
Seramai 16 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW); 19 dikurniakan Kesatria Mahkota Wilayah (KMW); 15 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 92 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).
-BTS Media