BTS Media

Mahkamah Rayuan kekal pembebasan anak Mat Sabu daripada tuduhan penyalahgunaan dadah

GAMBAR ATAS: Kerina yin at ms.wikipedia, Public domain, via Wikimedia Commons

 

ANAK bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam, kekal bebas daripada pertuduhan penyalahgunaan dadah yang dibuat terhadapnya tiga tahun lalu.

Ini susulan keputusan dibuat oleh panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahmad Saiful, 34, daripada pertuduhan tahun lepas, lapor Malay Mail.

“Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersilap dari segi fakta dan undang-undang dalam membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam.

“Mahkamah juga berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah menimbang dengan teliti semua kenyataan, dan mahkamah ini tidak mendapati sebarang keraguan dalam keputusan hakim untuk melepas dan membebaskan Ahmad Saiful.

“Oleh itu, rayuan pihak pendakwaan ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi kekal,” kata Hakim Kamaludin. Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Hakim Datuk M. Gunalan dan Hakim Datuk Hashim Hamzah.

Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi pada 5 Jan 2019.

Pada 27 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi membebaskan Ahmad Saiful daripada pertuduhan penyalahgunaan dadah selepas membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret pada 24 Jun 2020.

-BTS Media

Leave a Comment