MAHKAMAH Tinggi meluluskan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memindahkan kes dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram beliau dari Mahkamah Sesyen.
Hakim Muhammad Jamil Hussin yang membuat keputusan itu pada hari Isnin (16 Jun) berkata bahawa Muhyiddin telah memenuhi kriteria di bawah Seksyen 417(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah, kerana isu undang-undang berkenaan “luar biasa sukar”.
Beliau percaya bahawa adalah sesuai bagi Mahkamah Tinggi mengendalikan isu-isu undang-undang yang kompleks ini, termasuk persoalan mengenai keperlembagaan beberapa peruntukan dalam Akta SPRM 2009.
Mahkamah telah menetapkan 14 Julai untuk pengurusan kes.
Muhyiddin, yang menghadapi empat pertuduhan dakwaan salah guna kuasa melibatkan RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa dan tiga pertuduhan menerima RM200 juta daripada aktiviti haram, dilaporkan telah memfailkan permohonan ini pada 4 April.
-BTS Media