BTS Media

Mahkamah benarkan Muhyiddin dapat pasport untuk ke UK

MAHKAMAH Sesyen di sini membenarkan permohonan Muhyiddin Yassin mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bagi membolehkan beliau menerima nasihat perubatan berhubung kanser pankreasnya serta melawat cucunya di United Kingdom (UK).

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport mulai hari ini hingga 14 Jan depan.

“Mahkamah mendengar serta meneliti segala hujahan kedua-dua pihak. Mahkamah berpuas hati dan memutuskan permohonan pihak pemohon dibenarkan dan pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 14 Jan 2025 sepertimana dalam permohonan.

“Mahkamah berpendapat pemohon berhak mendapatkan rawatan perubatan terbaik bagi dirinya dan tiada juga bukti pemohon akan melarikan diri,” kata hakim.

Terdahulu, Hisyam berkata, anak guamnya memohon mendapatkan pasport antarabangsa untuk ke UK bagi menemui Prof Brian Davidson yang berlatarbelakangkan pakar bedah dalam bidang pembedahan hati, saluran hempedu dan pankreas, serta pengurusan kanser.

“Anak guam saya (Muhyiddin) percaya doktor itu mampu memberikan pandangan berhubung keadaannya. Oleh itu, anak guam saya membuat janji temu bersama Prof Brian bagi mendapatkan nasihat serta pendapat doktor berhubung kesihatannya.

“Anak guam saya dijangka bertemu Prof Brian pada 6.30 petang 18 Dis ini di Platinum Medical Centre di London. Pertemuan ini perlu bagi anak guam saya mendapatkan nasihat rawatan yang diperlukan dalam tempoh tersebut.”

Katanya, Muhyiddin baru-baru ini menjalani Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET Scan) untuk memantau keadaan kanser pankreasnya dan dimaklumkan bacaan penanda tumor CA 19-9 Muhyiddin menunjukkan sedikit peningkatan melebihi paras normal.

“Walaupun masih dalam keadaan peredaan, peningkatan bacaan penanda tumor CA 19-9 beliau sedikit sebanyak mendatangkan kekhuatiran terhadapnya.”

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mahadi Jumaat membantah permohonan Muhyiddin mendapatkan pandangan kedua berkaitan rawatan kanser itu kerana di Malaysia juga mempunyai pakar, perunding dan fasiliti mencukupi untuk pemohon mendapatkan rawatan.

“Bagi alasan permohonan kedua pemohon (Muhyiddin) untuk melawat keluarga dan anak-anaknya di UK, ini bukan alasan mendesak, tetapi lebih bersifat peribadi,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Noralis Mat dan Zander Lim Wai Keong.

Bernama

Leave a Comment