Oleh Yusoff A. Shariff
MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur membenarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan pasportnya untuk perjalanan ke luar negara bagi menghadiri pembukaan sebuah restoran di Bangkok.
Hakim Azura Alwi, dalam keputusannya pada hari Khamis (8 Februari) tidak bersetuju dengan hujahan pendakwaan kononnya perjalanan Muhyiddin tidak mendesak, namun pihak mahkamah mempunyai budi bicara yang luas untuk membenarkannya, lapor The Star.
Pasport Muhyiddin diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan dalam kes dakwaan pengubahan wang haram dan sebagai sekatan perjalanan.
“Walaupun pemohon telah dikenakan sekatan (perjalanan), ikat jamin dan syarat jaminan, adalah tidak munasabah untuk menghalang pemohon daripada menjalani kehidupannya dan menjalankan tugasnya seperti biasa kerana dia belum disabitkan kesalahan,” kata hakim.
-BTS Media