BTS Media

Mahkamah Tinggi perintah kerajaan selaras pencen pesara

GAMBAR: Sebahagian daripada bekas penjawat awam di Mahkamah Tinggi hari ini bersama peguam Shukor Ahmad dan Baljit Singh Sidhu (hujung kanan).

MEMIHAK kepada kumpulan bekas penjawat awam, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan kerajaan supaya menyegerakan pelarasan pencen mengikut keputusan mahkamah sebelum ini.

Menurut Hakim Amarjeet Singh, pekeliling perkhidmatan yang dikeluarkan pada tahun 2016 berkesan sebagai semakan gaji bagi penjawat awam.

Beliau berkata, kerajaan berhak di bawah Akta Penyelarasan Pencen untuk diberikan pencen sepadan dengan gaji.

Dengan itu, Amarjeet memerintahkan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya membuat bayaran pencen yang terpakai dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini.

Hakim Amarjeet juga menolak permohonan lisan untuk penangguhan oleh peguam persekutuan, M Kogilambigai dan mengarahkannya memfailkan permohonan formal.

Pemohon diwakili oleh peguam Shukor Ahmad dan Baljit Singh Sidhu.

Pada 29 Feb 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas penjawat awam, Aminah Ahmad dan pemohon bersamanya kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman selepas peguam negara tidak mengemukakan bantahan.

Permohonan itu menamakan kerajaan dan ketua pengarah JPA sebagai responden.

Tujuan permohonan itu ialah bagi memaksa responden melaksanakan pelarasan bagi pencen mereka mengikut formula yang ditetapkan dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen, sebelum pindaan kepada undang-undang berkenaan dibuat pada tahun 2013.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred sama.

Pindaan pada tahun 2013 memperkenalkan kenaikan tahunan kadar rata sebanyak 2%.

Pada peringkat permulaan Aminah gagal dalam saman permulaan di Mahkamah Tinggi pada tahun 2020.

Bagaimana pun, pada tahun 2022 Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut, dan memutuskan bahawa pindaan terhadap Akta Penyelarasan Pencen pada tahun 2013 batal dan tidak sah kerana meletakkan pemohon pada kedudukan kurang baik, berbanding sebelum ini, yang melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 27 Jun 2023, lima hakim Mahkamah Persekutuan bersidang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

-BTS Media

Leave a Comment