POLIS mengesahkan enam orang, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang remaja, ditemukan maut dengan hanya tinggal rangka di dalam sebuah rumah yang terbakar di Kangkar Pulai, Johor.
Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad, berkata penemuan mayat rentung itu dibuat pada 9 Januari lalu oleh seorang lelaki berusia 48 tahun yang sedang mencari isteri serta anak-anaknya, yang tinggal di rumah berkenaan selepas pasangan itu berpisah.
Beliau memaklumkan rumah tersebut terletak di dalam kawasan ladang kelapa sawit kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak mempunyai bekalan air serta elektrik.
Menurutnya, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa masing-masing berusia dua, lima, sembilan, 17, 29 dan 35 tahun, terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan, yang kesemuanya tidak berdaftar di mana-mana sekolah.
Ab Rahaman turut memaklumkan bahawa empat suspek, iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun, telah ditahan pada 21 Januari di beberapa lokasi sekitar Iskandar Puteri.
Beliau berkata kesemua suspek tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa, sebaliknya merupakan rakan yang dipercayai mengambil dadah bersama salah seorang dewasa yang dilaporkan hilang.
Hasil ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, manakala kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurut beliau lagi, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor.
Dua suspek lelaki dijadualkan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 4 Februari, manakala dua lagi suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis dan dijangka dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
-BTSMedia.my



