MUAR: Penduduk di Jalan Ismail, Sabak Awor terkejut dengan tragedi empat beradik maut, malam tadi kerana beranggapan kesemua mereka tiada di rumah.
Jiran, Limat Sawal, 63, berkata ketiadaan kereta Perodua Kancil milik keluarga itu, membuatkan penduduk sangka kebakaran tidak membabitkan mangsa.
“Biasanya kami jiran-jiran tengok, ibu bapanya akan membawa kesemua anak mereka menaiki kereta berjalan-jalan atau keluar membeli barang.
“Sewaktu kejadian, memang kami tidak nampak kereta di luar rumah. Disebabkan itu, kami semua menyangka rumah itu kosong. Jeritan penduduk, tidak disahut.
“Nyata sangkaan kami meleset, apabila bomba menemukan empat beradik itu di dalam bilik air di bahagian dapur rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Sabak Awor di sini, hari ini.
Limat berkata, dia antara yang terawal tiba di lokasi kejadian selepas melihat api marak dari rumah jirannya itu yang terletak kira-kira 110 meter.
“Ketika itu saya dan keluarga sedang berbuka puasa. Apabila lihat api dari rumah jiran saya bergegas ke sana. Saya bersama jiran-jiran yang lain cuba padam kebakaran dengan menjirus air paip.
“Namun api semakin marak dan asap mula tebal. Tidak lama kemudian anggota bomba tiba untuk memadam kebakaran,” katanya.
Limat yang tidak dapat menahan sebak memberitahu, keempat-empat kanak- kanak itu kerap dilihat bermain di halaman rumahnya dan jiran sebelum ini.
“Ibu mereka bergaul mesra dengan penduduk. Saya cukup sayu apabila mengenangkan kejadian ini kerana anak mereka masih kecil dan sebaya cucu saya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Idris Sehan, 76, berkata dia mengetahui kejadian kebakaran itu daripada penduduk ketika berada di surau selepas solat tarawih.
“Saya terkejut apabila diberitahu ada rumah yang terbakar. Rumah yang terbakar itu adalah milik sepupu saya yang disewakan kepada satu keluarga sejak empat tahun lalu.
“Buat masa sekarang, ibu bapa mangsa tinggal di balai raya kampung. Kami penduduk turut menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka,” katanya.
Sebelum itu, empat adik-beradik berusia antara lapan hingga tiga tahun iaitu dua lelaki dan dua perempuan dilaporkan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, pada kira-kira jam 7.49 malam, tadi.
Mereka dikenali sebagai Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.
Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1083785/kami-sangka-tak-ada-sesiapa-dalam-rumah