TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau kekal menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai presiden walaupun telah melepaskan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Dalam perutusan Tahun Baharu di Facebook, Muhyiddin berkata penjelasan itu dibuat bagi menamatkan spekulasi berhubung kedudukannya dalam parti serta peranan Bersatu dalam gabungan PN.
Beliau menegaskan bahawa beliau masih memegang jawatan presiden dan akan terus memimpin parti berkenaan.
Muhyiddin turut berkata bahawa Bersatu kekal sebagai rakan gabungan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN, sambil menegaskan kerjasama tersebut akan diteruskan demi kestabilan dan kekuatan gabungan politik itu.
Beliau juga menyeru ahli-ahli parti supaya memperkukuh perpaduan, mempererat kerjasama dan mengelakkan perpecahan dalaman.
Menurutnya, keputusan untuk mengambil “langkah ke belakang” bukan satu tanda kelemahan, sebaliknya merupakan strategi bagi mengukuhkan asas parti serta menyusun semula kepimpinan ke arah masa depan yang lebih mampan.
– BTSMedia.my



