BTS Media

Jambatan di Baltimore, Amerika Syarikat runtuh dilanggar kapal Singapura: Enam maut

GAMBAR: NYT.

 

ENAM orang maut selepas pekerja kecemasan menangguhkan usaha mencari dan menyelamat  pada petang Selasa, berikutan kejadian Jambatan Francis Scott Key runtuh di Baltimore, Amerika Syarikat.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku apabila sebuah kapal besar membawa kontena mengalami gangguan bekalan elektrik, dan melanggar jambatan empat lorong itu.

Kapal itu dikenal pasti sebagai Dali, sebuah kapal kontena Singapura. Perlanggaran itu mengakibatkan beberapa orang bersama kenderaan terhumban ke dalam sungai yang sejuk, lapor The New York Times(NYT).

Enam orang yang hilang itu dipercayai sebahagian daripada pekerja pembinaan yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan di jambatan apabila perlanggaran berlaku.

Pengawal pantai pelabuhan Baltimore berkata, berdasarkan tempoh masa operasi mencari dan menyelamat, mereka tidak yakin akan dapat menemui mana-individu yang masih hidup memandangkan keadaan air sungai yang begitu sejuk.

Bagaimanapun, terdahulu dua orang berjaya ditarik keluar dari Sungai Patapsco, seorang dalam keadaan kritikal.

Dalam kenyataan ringkas dari White House pada 26 Mac, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata beliau mahu kerajaan persekutuan membiayai kos pembinaan semula jambatan itu, yang dibuka kepada lalu lintas pada bulan Mac 1977.

Kapal tersebut “hilang tenaga kawalan” ketika meninggalkan pelabuhan, lapor ABC News memetik laporan perisikan AS yang tidak diklasifikasikan.

Gabenor Maryland, Wes Moore berkata, kapal tersebut telah mengeluarkan isyarat kecemasan ‘mayday’ beberapa ketika sebelum perlanggaran, dan langkah itu mungkin telah menyelamatkan nyawa lain kerana membolehkan polis menyekat aliran trafik yang melintasi jambatan berkenaan.

Penutupan Pelabuhan Baltimore susulan kejadian, yang merupakan pelabuhan utama Pantai Timur AS kini mengganggu sistem perkapalan yang membawa bekalan barangan seperti kereta, arang batu dan komoditi lain, termasuki gula.

Ia boleh menyebabkan kesesakan trafik perkapalan, kelewatan eksport dan import di pantai timur laut AS, kata pakar ekonomi.

Pelabuhan Baltimore mengendalikan kadar import kereta paling tinggi dan merupakan antara yang terbesar untuk eksport arang batu.

Jambatan Francis Scott Key ialah laluan utama bagi trafik antara New York dan Washington yang memintas pusat bandar Baltimore. Ia adalah salah satu daripada tiga cara untuk menyeberangi Pelabuhan Baltimore, dengan jumlah trafik sebanyak 31,000 kereta sehari, atau 11.3 juta kenderaan setahun.

-BTS Media

Leave a Comment