BTS Media

Jambatan gantung runtuh, sekurang-kurangnya 132 orang maut

USAHA untuk mencari mangsa hilang selepas jambatan gantung pejalan kaki berusia hampir seratus tahun runtuh ke dalam sungai di wilayah Gujarat, barat India pada petang Ahad, mengorbankan sekurang-kurangnya 132 orang.

Sekurang-kurangnya 177 orang yang jatuh ke sungai dan berjaya diselamatkan oleh anggota tentera darat, udara dan laut, kata seorang pegawai jabatan penerangan.

Video kejadian yang tular menunjukkan beratus-ratus orang sedang bergayut pada struktur jambatan itu untuk cuba menyelamatkan diri, sementara orang ramai di tebing menjerit dan antaranya terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka yang terjatuh.

Pihak berkuasa berkata, jambatan gantung pejalan kaki era kolonial abad ke-19 merentas sungai Machchu di daerah Morbi itu runtuh kerana ia tidak mampu menampung beban terlalu ramai pengguna yang berpusu-pusu cuba melawat ke satu tarikan pelancong di situ.

Jambatan sepanjang 232 meter itu sebelum ini ditutup untuk kerja-kerja baik pulih selama enam bulan, dan baharu di buka semula empat hari lalu sempena Tahun Baru Gujarat.

Perdana Menteri Narendra Modi yang berasal dari wilayah Gujarat melahirkan rasa sedih di atas tragedi itu, dan telah mengumumkan bayaran bantuan dan ganti rugi kepada keluarga mangsa.

Gujarat akan mengadakan pilihan raya negeri dalam beberapa bulan lagi, dan pihak pembangkang mendesak penjelasan daripada kerajaan ke atas kejadian kerana mendakwa jambatan tersebut dibuka semula tanpa mendapat kelulusan keselamatan.

-BTS Media

Leave a Comment