BTS Media

‘Bukan masalah saya jika kamu tak suka saya’ – Azam Baki

Oleh Fetty Rara

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata beliau tidak kisah “diserang” atau digesa meletakkan jawatan oleh pengkritiknya kerana menjalankan tugas dalam memerangi rasuah.

Dalam temu bual eksklusif dengan New Straits Times, Azam menggambarkan dirinya sebagai tidak terkesan dengan serangan sedemikian.

Beliau berkata bukan masalahnya jika orang tidak sukakannya.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali semalam mengumumkan pelantikan semula Azam ke jawatan itu selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan kontrak beliau disambung setahun lagi.

Azam mula dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 untuk menggantikan Latheefa Beebi Koya.

Sebelum itu, beliau memegang jawatan timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM selama empat tahun mulai 2016, selain sebagai Pengarah Risikan dan Pengarah Bahagian Siasatan.

Menyentuh kuasa agensi itu, Azam berkata tiada apa-apa yang boleh menghalang SPRM daripada menjalankan pemeriksaan ke atas mana-mana akaun bank yang disyaki atas sebab-sebab munasabah bagi menyiasat salah laku, termasuk terhadap menteri.

Beliau berkata, SPRM tidak mahu membuat pemeriksaan rambang, seperti mana dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui notis untuk mengesahkan pemfailan cukai oleh pihak tertentu.

“Kami tidak akan menang tangan jika mengambil pendekatan sedemikian. Oleh itu, kami hanya menggunakan peruntukan di bawah  Seksyen 36 Akta SPRM bagi menyiasat kes rasuah.

“Kami akan menjalankan analisis forensik, membandingkan pendapatan dan perbelanjaan individu berkenaan, dan seterusnya seksyen ini digunakan supaya mereka membuat pengisytiharan.

Menurut beliau, jika mereka gagal memberikan penjelasan yang wajar, pertuduhan boleh dikenakan.

-BTS Media

Leave a Comment