PIHAK Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata siasatan terhadap pembelian enam kapal tempur bernilai RM6 bilion sedang di peringkat akhir dan hasilnya masih belum dapat didedahkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata beliau perlu menjaga sensitiviti siasatan kerana ia melibatkan organisasinya dan Jabatan Peguam Negara.
Menyangkal dakwaan sesetengah pihak, beliau dipetik Berita Harian sebagai berkata sebaliknya SPRM telah menjalankan siasatan berhubung perkara itu sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini ahli parlimen pembangkang telah menggesa SPRM supaya menyiasat projek tersebut, yang menurut mereka terdapat dakwaan rasuah.
Khamis lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Wong Kah Woh berkata Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah mengabaikan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.
Beliau berkata reka bentuk awal Sigma yang dipilih oleh tentera laut telah diluluskan oleh Kementerian Pertahanan, tetapi kemudian ditukar kepada reka bentuk Gowind pada 11 Julai 2011, selepas BNS mengesyorkan kepada menteri ketika itu tiga hari sebelumnya.
Wong berkata tiada satu kapal pun siap dibina walaupun Putrajaya telah membelanjakan sebanyak RM6 bilion untuk projek yang diberikan kepada BNS melalui rundingan terus itu.
Tambahnya, tentera laut sepatutnya menerima lima daripada kapal itu menjelang Ogos tahun ini.
-BTS Media