BTS Media

‘Wira’ pandemik Covid-19, Noor Hisham akan bersara

Oleh Fetty Rara

KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan bersara bulan ini setelahs berkhidmat kepada negara selama 35 tahun, dengan antara tugas paling mencabar terakhir mengemudikan Kementerian Kesihatan mengharungi pandemik Covid-19.

Bapa kepada enam anak itu berkata, beliau tidak sabar untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selepas berundur pada 21 April, apabila beliau mencecah umur persaraan wajib bagi anggota perkhidmatan awam, iaitu 60 tahun.

“Persaraan adalah bab kehidupan seterusnya. Ia adalah perjalanan hidup. Saya akan menyeberangi satu jambatan pada satu masa,” kata anak jati Selangor itu kepada The Star.

Ditanya sama ada beliau berasa seronok bersara memandangkan beliau biasa bertungkus-lumus bekerja sepanjang kariernya, beliau menjawab secara berseloroh: “Biar saya bersara dulu dan saya akan berkongsi pengalaman saya kemudian nanti.”

Setelah mengetuai respons Malaysia terhadap pandemik Covid-19, Dr Noor Hisham amat dikenangi kerana membantu mengemudi negara keluar daripada krisis kesihatan yang melumpuhkan sebahagian besar dunia sejak 2020.

Jasa beliau pernah diabadikan dalam beberapa lukisan mural di negara.

“Ia adalah episod yang tidak dapat dilupakan dalam perjalanan karier perubatan saya untuk mengendalikan pandemik dan membantu membawa kita hampir kembali normal,” katanya.

Ia bukanlah satu-satunya kemuncak kerjaya cemerlangnya.

Dr Noor Hisham berkata beliau turut berbangga dengan penghormatan yang diberikan untuk menyampaikan syarahan berprestij Martin Allgower di Kongres Pembedahan Dunia di Krakow, Poland, pada 2019 di hadapan 2,000 pakar bedah global.

(Syarahan itu memperingati Prof Allgower, seorang pakar bedah terkenal di peringkat antarabangsa yang merupakan pengerusi Jabatan Pembedahan di Universiti Basel di Switzerland dari 1967 hingga 1983.)

Satu lagi kejayaannya ialah mencatatkan perjalanan panjang Malaysia ke arah mencapai matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghapuskan Hepatitis C menjelang 2030 dan menangani isu keterjangkauan akses (kepada rawatan).

“Ada banyak lagi detik yang menggembirakan dan memuaskan dalam kerja saya. Ini termasuk mewujudkan laluan selari dalam 15 kepakaran dan banyak lagi inisiatif berimpak tinggi Kementerian Kesihatan dengan hasil baik dan pada kos yang berpatutan,” tambahnya.

Dr Noor Hisham adalah seorang pakar bedah terkenal yang menjejaki pelbagai peringkat global, termasuk sebagai pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global Persatuan Pembedahan Antarabangsa Malaysia (ISS) yang pertama dari 2017 hingga 2021 dan sebagai pengerusi pertama Jawatankuasa Tetap WHO mengenai Pencegahan Kecemasan Kesihatan, Kesediaan dan Respons pada bulan Disember tahun lalu.

Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama diberikan pengiktirafan sedemikian.

Dr Noor Hisham menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 sebelum memegang jawatan sebagai pakar bedah am pada 1994 dan berkhidmat sebagai pakar bedah am Hospital Putrajaya pada 2004.

Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman sebagai ketua pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013. Sebelum itu, Dr Noor Hisham memegang jawatan timbalan ketua pengarah (perubatan) Kesihatan sejak 1 Feb 2008.

Walaupun menerajui kementerian sebagai penjawat awam teratas, Dr Noor Hisham berkata beliau tidak pernah melupakan peranannya sebagai pakar bedah.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang pembedahan dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum menyambung pengajian dalam bidang pembedahan dan latihan endokrin di beberapa universiti di Adelaide dan Sydney, Australia.

“Selain menjadi pentadbir, saya juga pakar bedah endokrin payudara. Saya sentiasa seorang pakar bedah, dilatih sebagai pakar bedah dan dikenali sebagai pakar bedah,” tambahnya.

-BTS Media

Leave a Comment