BTS Media

Kes Covid-19 Kategori 1 dan 2 dijangka meningkat selepas Aidilfitri, kata Noor Hisham

Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes Covid-19 akan meningkat selepas sambutan Aidilfitri, tetapi kebanyakannya dalam Kategori 1 dan 2, iaitu tiada gejala dan gejala ringan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, trend kes Covid-19 diperhatikan KKM sepanjang tempoh dua bulan lepas menunjukkan 99.5% kes adalah Kategori 1 dan 2, manakala kemasukan kes positif ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU), penggunaan bantuan alat pernafasan malah kes kematian turut berkurangan.

Katanya, lebihan kematian pada 2020 dan enam bulan pertama 2021 adalah rendah berbanding sebelum wabak, namun didapati melonjak pada Julai dan Ogos tahun lepas.

“Namun lebihan kematian berjaya diturunkan pada Ogos dan bulan seterusnya dengan liputan vaksinasi yang tinggi, melebihi 99% bagi populasi dewasa, 92% bagi populasi remaja, dan dos penggalak menghampiri 70%.

“Ini memberi keyakinan untuk membuka semua sektor dan kembali kepada keadaan sebelum wabak, tetapi ia belum berakhir,” katanya kepada media selepas menyantuni petugas kesihatan di Hospital Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Menurutnya, KKM masih menggunakan empat kaedah untuk menangani Covid-19, iaitu dengan liputan vaksinasi, ubat antiviral, kesihatan awam yang mengekalkan pemakaian pelitup muka di tempat sempit dan tempat terbuka yang sesak, selain melaksanakan ujian kendiri jika bergejala.

Noor Hisham berkata, jumlah 1,503 kes baharu yang dicatatkan semalam adalah satu perkembangan baik berikutan liputan vaksinasi memberi imuniti kelompok kepada masyarakat.

“KKM berharap trend ini kekal supaya (kita) dapat mengharungi Covid-19 dengan baik dan hidup bersama virus dalam peralihan ke endemik. Kalau kita bekerjasama dan bertanggungjawab menjalankan kawalan kendiri, penularan akan dapat dibendung,” katanya.

“Setakat ini selepas pembukaan semula sempadan negara pada 1 April, KKM jangka kes meningkat tetapi kes makin menurun.

“Ini menunjukkan ketahanan imuniti kelompok, iaitu (menerusi) vaksin dan ketahanan imuniti semula jadi bagi mereka yang pulih setelah dijangkiti. Ini akan membantu KKM mengawal dan membendung penularan jangkitan Covid-19 dalam negara.”

Noor Hisham berkata, cuti petugas kesihatan untuk menyambut Hari Raya tidak dibekukan tahun ini, tidak seperti 2020, setelah situasi Covid-19 dalam negara terkawal.

Ia juga memberi peluang muhasabah untuk diri sendiri, keluarga dan perkhidmatan kesihatan supaya dapat ditambah baik dalam melengkapkan kesiapsiagaan jika berlaku lonjakan kes, tambahnya.

Baca lagi:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/02/kes-covid-19-kategori-1-dan-2-dijangka-meningkat-selepas-aidilfitri-kata-noor-hisham/

Leave a Comment