BTS Media

Amaran kemungkinan berlaku 20,000 kes Covid-19 selepas Hari Raya – Pakar Kesihatan

GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff

Oleh Fetty Rara

Seorang pakar kesihatan awam memberi amaran bahawa kes harian Covid-19 mungkin meningkat kepada kira-kira 20,000 selepas cuti Hari Raya Aidilfitri nanti.

Profesor kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata puncanya ialah kerana ramainya rakyat Malaysia yang pulang ke kampung untuk berhari raya, peratusan rendah dos penggalak, dan vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak rendah.

Malaysia merekodkan 6,069 kes baharu pada Selasa (20 April), menurun daripada 7,140 kes yang dicatat pada Isnin.

Beliau berkata keupayaan tinggi varian Omicron berjangkit ditambah dengan vaksin Covid-19 tidak berkesan 100% boleh menyebabkan peningkatan kes, lapor China Press.

Masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada pandemik telah reda atau keadaan akan menjadi lebih baik (tetapi) kita perlu melihatnya dari sudut lain, termasuk peningkatan pergerakan orang ramai selepas cuti dan kadar penerimaan dos liputan penggalak.

Ini penting,terutamanya memandangkan tahap risiko kepada golongan warga emas, dan individu yang mempunyai komorbiditi.

Beliau berkata keadaan akan mengambil masa tiga bulan lagi untuk reda sekiranya berlaku lonjakan kes jangkitan selepas cuti Hari Raya.

Kerajaan membenarkan rakyat Malaysia “balik kampung” untuk menyambut Hari Raya tahun ini, selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian kerana perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Sharifa juga berkata setelah sempadan negara dibuka semula, kerajaan harus berjaga-jaga kemungkinan berlaku penularan varian Omicron XE yang berlaku di negara lain  dan bersedia untuk berdepan dengan keadaan sama di sini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan amaran tentang Omicron XE – hibrid mutan Omicron BA.1 dan BA.2.

Sebelum ini, pada 7 April, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia masih belum merekodkan sebarang kes varian Omicron XE dan sedang memantau perkembangan terkini.

-BTS Media

Leave a Comment