Oleh Zainal AS Rashid
PUSPAKOM tidak lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan kenderaan sebaik sahaja konsesi tamat pada 31 Ogos 2024, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata mereka yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan akan dipelawa untuk menghantar permohonan pada suku pertama 2024.
“Keputusan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang kompetitif dan memudahkan semua rakyat Malaysia,” kata Loke sewaktu sidang media pada Jumaat (24 Mac).
“Keputusan ini bermakna Puspakom tidak lagi menjadi satu-satunya penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 Sept 2024,” tambahnya.
Loke berkata penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dikehendaki melantik pekerja yang memenuhi keperluan kelayakan tertentu, menyedia dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal dan diluluskan oleh JPJ, hanya mengenakan kadar bayaran pemeriksaan yang ditetapkan, dan dilarang daripada menawarkan pembaikan atau pengubahsuaian perkhidmatan dan menjual alat ganti.
Beliau berkata bakal pembekal mesti mempunyai peralatan mereka sendiri yang diperlukan, lapor The Star.
“Kami tidak akan membelanjakan wang untuk membina sistem mereka. Syarikat yang berminat mesti memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kementerian dan JPJ,” katanya.
Puspakom ialah syarikat pemeriksaan kenderaan nasional pertama komprehensif yang dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori untuk kenderaan komersial dan persendirian.
Ditubuhkan pada 1994, ia merupakan anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd.
Loke berkata kementerian telah berbincang dengan DRB-Hicom, dan pihak pengurusan akur keputusan itu.
Menurut beliau orang ramai telah membangkitkan isu monopoli dalam sektor ini sejak bertahun, sambil menambah bahawa keputusan untuk membuka sektor itu juga akan mengurangkan masa menunggu untuk kenderaan pengangkutan komersil diperiksa.
Loke juga berkata Puspakom telah diminta untuk meningkatkan kualiti dan integriti pemeriksaan mereka, seperti meningkatkan automasi dan mendigitalkan aliran kerja.
Mengenai konsesi Puspakom semasa yang dilanjutkan selama 15 tahun pada 2009, Kabinet bersetuju untuk melanjutkan perjanjian itu untuk tempoh yang sama, berkuat kuasa 1 Sept 2024, dengan menambah baik terma perjanjian sedia ada.
-BTS Media