Urusan pembayaran untuk semua jenis pemeriksaan kenderaan di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) akan dilakukan tanpa tunai mulai 1 Julai.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Shukor Ismail berkata pelaksanaan urusan tanpa tunai akan berkuat kuasa di semua 54 pusat pemeriksaan agensi itu di seluruh negara.
Pelanggan boleh membuat pembayaran dalam talian dengan menggunakan e-dompet, kad debit atau kad kredit.
Turut diterima, termasuk e-dompet Puspakom, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay.
Pembayaran tanpa tunai, serta pengeluaran laporan dan resit pemeriksaan elektronik tanpa kertas telah dilaksanakan sejak April tahun lalu.
Bagaimanapun, pembayaran tunai terus diterima ketika itu memandangkan masih terdapat sesetengah orang ramai tidak memiliki e-dompet, debit atau kad kredit.
Melalui kenyataan pada Khamis (9 Jun) Shukor berkata data terkini menunjukkan lebih 90 peratus pelanggan Puspakom menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai di semua cawangan agensi itu.
Beliau berkata, ia menunjukkan bahawa pembayaran tanpa tunai menjadi pilihan kerana ia lebih mudah, cepat dan selamat dari segi kebersihan mengikut keadaan semasa.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Puspakom di talian 03-5101 7000 atau Live Chat di pautan www.puspakom.com.my atau mengikuti Facebook rasmi Puspakom Sdn Bhd.
-BTS Media