BTS Media

Pemuda PAS Marang serah replika, kostum diguna dalam perarakan kepada polis

PEMUDA PAS Marang menyerahkan kepada polis barangan replika dan kostum berkaitan dengan perarakan sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) Jumaat lepas yang tular hingga menjadi kontroversi dan dikecam sesetengah pihak.

Melalui Facebook malam tadi, ADUN Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pemuda PAS Marang Yusof Abdul Hadi.

“(Kemas kini) terkini, dari Ketua Pemuda PAS Marang Ustaz Yusof Abdul Hadi, Pemuda memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan juga mengucap terima kasih di atas layanan baik yang diberikan oleh pihak polis.

“Barang-barang replika dan kostum yang diperbuat daripada kayu, dan plastik telah diserahkan kepada pihak polis.

Dilaporkan semalam, polis Terengganu merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan berhubung perarakan diadakan di Setiu itu.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata, beberapa individu lain juga dipanggil untuk direkod keterangan, termasuk penganjur dan ahli jawatankuasa, bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini tiga laporan polis telah dibuat berhubung isu itu.

Ahad lepas, tular di media sosial beberapa gambar sekumpulan individu mengadakan perarakan sambil membawa replika senjata pada program Pemuda PAS di Setiu.

Perarakan itu difahamkan sempena perkumpulan Pemuda PAS negeri selama dua hari.

Susulan itu, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, yang tidak menyertai acara itu, dilaporkan menganggap Pemuda PAS Terengganu berarak bersama pedang, lembing dan perisai sebagai “pelik”.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyelar perarakan seperti tentera itu dengan berkata, ia bukan sahaja tidak wajar malah boleh menimbulkan keresahan orang ramai.

-BTS Media

Leave a Comment