TENAGA Nasional Berhad (TNB) meminta semua pihak menghentikan kerja pengorekan tanah pada hari mengundi Sabtu ini bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan elektrik.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, ia adalah bagi mengurangkan risiko kerosakan pada kabel elektrik.
“TNB sendiri menangguhkan kerja-kerja sedemikian mulai 16 November di samping memberi tumpuan kepada memastikan kestabilan bekalan sepanjang PRU15, khususnya pada malam keputusan pilihan raya.
“Nasihat kami, agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dulu dan jika tidak dapat dielakkan, patuhilah semua prosedur dan tatacara yang ditetapkan agar kita sama-sama dapat mengurangkan risiko gangguan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
TNB telah membuat persiapan memastikan bekalan elektrik di 6623 Pusat Mengundi dan 165 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di seluruh Semenanjung berada dalam keadaan baik pada hari pengundian
Wan Nazmy turut memaklumkan pihaknya telah membuat persiapan bagi memastikan bekalan elektrik di 6623 Pusat Mengundi dan 165 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di seluruh Semenanjung berada dalam keadaan baik pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“TNB telah pun melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi-lokasi tersebut sentiasa terjamin.
“Kami juga telah menempatkan pasukan-pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia untuk lokasi penting ini,” ujarnya.
Tambahnya, TNB telah mendapatkan kerjasama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di kesemua pusat mengundi dan penjumlahan undi.
“Daripada situ, kami telah pun mengambil langkah-langkah yang diperlukan. Insya-Allah semuanya akan berada dalam keadaan terkawal,” jelasnya.
-BTS Media