BTS Media

TNB akan beri rebat kepada yang terjejas gangguan bekalan elektrik, kata Takiyuddin

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

TENAGA Nasional Berhad (TNB) akan memberi rebat kepada pengguna, terutama peniaga yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di beberapa bahagian negara pada Rabu lalu (27 Julai).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata pada hari kejadian, kira-kira sejuta pengguna akaun domestik, industri dan komersial terjejas akibat gangguan yang berlaku pada 12.39 tengah hari itu.

Beliau memberitahu media di Kota Baru, Kelantan hari ini (Sabtu 30 Julai) bahawa pengguna yang terkesan boleh membuat tuntutan dengan menyatakan jumlah kerugian.

Beliau, bagaimana pun berkata, maklumat terperinci rebat itu akan dibentangkan di parlimen pada 4 Ogos ini.

Pihak TNB memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di kawasan terjejas dalam tempoh dua jam 21 minit, namun bagi memastikan kestabilan, bekalan ke beberapa kawasan tidak kritikal terpaksa dikenakan catuan.

Takiyuddin berkata hospital, lapangan terbang dan parlimen yang sedang bersidang tidak mengalami gangguan bekalan elektrik.

Dalam satu kenyataan pada Rabu lepas, TNB berkata gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan semenanjung sejak 12.39 tengah hari itu berpunca daripada kerosakan peralatan di pencawang Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

-BTS Media

Leave a Comment