BTS Media

Pulau Pinang: Pondok telefon lama diguna semula sebagai perpustakaan mini

GAMBAR ATAS: Twitter @Joshuawsz

 

Oleh Zainal AS Rashid

DIINSPIRASIKAN oleh penggunaan semula pondok telefon awam ikonik merah British di United Kingdom, sebuah kumpulan komuniti belia di George Town, Pulau Pinang, telah memulakan projek untuk menjadikan pondok telefon lama sebagai perpustakaan mini.

Projek perpustakaan mini itu menyaksikan lima pondok telefon lama bertukar menjadi perpustakaan komuniti di mana orang ramai boleh meminjam, menukar atau menderma buku.

Tiga terletak di hujung utara Beach Street (depan balai polis), satu di Gat Lebuh Gereja dan satu lagi di Lebuh China, lapor The Star.

Kesemua pondok itu dicat menarik berwarna kuning, biru dan merah jambu.

Ia merupakan inisiatif Penggerak Komuniti Muda (Peka) bagi memupuk tabiat membaca dan untuk penggemar buku bertukar-tukar buku.

Projek tersebut menelan belanja RM9,000 dan turut disokong Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pengarah eksekutif Peka Joshua Woo berkata bahawa beliau mendapat idea itu apabila melihat pondok-pondok telefon lama yang begitu hodoh dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Beach Street.

Keadaan itu mencetuskan idea untuk memberikan nafas baharu kepada legasi era telefon analog dengan menjadikannya sesuatu yang berguna , seperti membina perpustakaan mini.

Ahli PEKA mengambil inisiatif membersihkan pondok-pondok telefon tersebut, mencabut wayar lama dan bahagian yang tidak diperlukan, mengecat dan memasang rak akrilik.

Menurut Woo, pihak MBPP menyediakan kemudahan port USB dan lampu.

-BTS Media

Leave a Comment