BTS Media

Koop Sahabat umum 10 % dividen kepada anggota 2021

Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) hari ini (18 Jun) mengumumkan dividen 10 peratus (RM 5.8 juta) kepada 243,163 anggota koperasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM 3.9 juta bagi 2020.

Dividen kali ini tertinggi pernah dicatatkan oleh Koop Sahabat sejak penubuhannya pada Ogos 2012.

Pengerusi Koop Sahabat, Mohd Najib Hj Mohd Noor berkata pembayaran dividen ini adalah hasil keuntungan bersih semasa yang dicatat oleh Koop Sahabat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, tidak termasuk pemotongan zakat sebanyak 2.5 peratus.

Pengumumam agihan Dividen 2021 Koop Sahabat sebanyak 10% oleh Pengerusi Koop Sahabat Mohd Najib Mohd Noor

Pengumuman dibuat pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-9 dan Pengundian Pemilihan Anggota Lembaga Koperasi 2022 di Pulau Pinang.

Walaupun terkesan oleh ketidaktentuan ekonomi dan cabaran pandemik Covid-19, Koop Sahabat masih berupaya mengekalkan prestasi kadar dividen yang konsisten.

Koop Sahabat mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan signifikan perolehan pada 2021 berjumlah RM 63.2 Juta berbanding RM 28.5 Juta pada tahun sebelumnya.

Ia adalah hasil peningkatan perniagaan melalui aktiviti peruncitan pembekalan stok ayam dan daging beku sebanyak RM 13.46 juta,  Perkhidmatan Kewangan sebanyak RM 12.7 juta berikutan pembukaan enam cawangan baharu Sahabat Ar Rahnu di Setiu, Bertam, Pendang, Wangsa Melawati, Batu Pahat dan Kluang, serta aktiviti Hartanah sebanyak RM 26.9 juta.

Pengerusi Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor Ketika sesi sidang media Pengumuman agihan dividen 2021 Koop Sahabat

Perkembangan ini memberi kesan secara langsung kepada keuntungan yang meningkat pada kadar 143% berjumlah RM 9.17 juta berbanding RM 3.77 juta pada 2020.

Mohd Najib berkata usaha ini mencerminkan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanya yang terdiri daripada usahawan wanita B40 di samping memberi keyakinan kepada bakal anggota dari kalangan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurutnya lagi, Koop Sahabat berjaya mencapai dua daripada empat sasaran yang ditetapkan menerusi Pelan Strategik 2020 – 2024.

Koop Sahabat adalah antara 10 koperasi terbaik Malaysia.

Sempena ulang tahun ke-10 pada Ogos ini, Koop Sahabat menumpukan kepada peningkatan kualiti tadbir urus, amalan integriti tinggi bagi mengekalkan pencapaian cemerlang dan kompetitif.

Datuk Shabudin menerima tanda kenagan daripada Pengerusi Koop Sahabat selepas perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan tahunan Kali Ke-9 Koop Sahabat

Koop Sahabat adalah sebuah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993 dengan keanggotaan dari kalangan wanita B40 melebihi 240,000 di seluruh negara.

Skop aktiviti Koop Sahabat meliputi perniagaan dalam Perkhidmatan Kewangan, seperti Ar Rahnu, Hartanah, Pelaburan Korporat, Pelaburan Strategik serta pelaburan ekuiti awam.

Bersempena MAPT kali ini, turut diadakan program Hari Bersama Koperasi bagi memberi penerangan berkaitan manfaat dan kelebihan kepada 100 orang anggota Koop Sahabat dari cawangan Pulau Pinang.

Selain itu, Koop Sahabat melalui Sahabat Ar Rahnu telah melancarkan Kempen Bonanza Merdeka serta Kempen Pinjam dan Menang kepada anggotanya bermula 1 Jun sehingga 31 Disember 2022 dengan tawaran hadiah menarik.

-BTS Media

Leave a Comment