BTS Media

Krisis Negeri Sembilan: Exco dijangka beri keterangan kepada polis

KEMELUT institusi diraja Negeri Sembilan memasuki fasa baharu apabila anggota Exco yang pelantikannya dibatalkan dijangka dipanggil oleh polis untuk memberikan keterangan hari ini.

Pegawai polis dari Bukit Aman dijangka merekodkan keterangan mereka di Seremban berhubung tindakan anggota Exco terbabit yang dikatakan berkait dengan keputusan untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pelantikan anggota Exco berkenaan dibatalkan oleh Tuanku Muhriz pada lewat 20 September lalu dan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan, keputusan itu dibuat selepas anggota Exco terbabit didapati melanggar sumpah jawatan yang telah mereka lafazkan sebelum pelantikan.

Mereka sebelum itu mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lalu.

Melalui ikrar berkenaan, mereka berjanji untuk memberikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Institusi Diraja, selain melindungi serta mempertahankan kedaulatan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Mereka turut mengakui kuasa yang diperuntukkan kepada Dewan Keadilan dan Undang.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menyatakan sumpah tersebut telah dilanggar menerusi tindakan mereka pada 15 September apabila anggota Exco terbabit bersetuju untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Pembatalan pelantikan itu kemudiannya disahkan secara rasmi menerusi Warta Kerajaan Negeri bertarikh 24 September.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, mendakwa anggota Exco yang pelantikannya dibatalkan itu turut dilarang memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri berdasarkan arahan secara lisan.

Perkembangan terbaharu itu menambah satu lagi dimensi kepada kemelut di Negeri Sembilan yang kini melibatkan persoalan berhubung kedudukan anggota Exco terbabit, sumpah jawatan mereka serta tindakan susulan pihak berkuasa.

-BTSMedia.my

Leave a Comment