BTS Media

Negeri Sembilan tegas bubar Dewan Undangan Negeri hanya bila penggal tamat

Oleh Zainal AS Rashid

KERAJAAN Negeri Sembilan hanya akan membubarkan Dewan Undangan Negeri selepas tamat penggal penuhnya, yang berakhir pada Jun tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Ismail Ahmad berkata pilihan raya di negeri tidak mungkin diadakan lebih awal daripada itu.

Kenyataan Ismail menyusul selepas ramalan Setiausaha Agung Pakatan Harapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa pilihan raya negeri di enam negeri, termasuk Negeri Sembilan mungkin diadakan kurang enam bulan dari sekarang.

“Adalah tidak sesuai diadakan pilihan raya negeri tidak lama lagi kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru sahaja selesai (pada November tahun lalu).

“Saya sedar adalah hak rakyat untuk memilih dan mengundi pada pilihan raya negeri.

Beliau yang juga ADUN Labu berkata setakat cakap-cakap untuk mengatakan bahawa pilihan raya akan diadakan memang mudah daripada realiti melakukannya kerana beberapa faktor perlu diambil kira dan diteliti, termasuk kos,” kata Ismail kepada media di Seremban hari ini.

“Kalau boleh, kita (kerajaan negeri Sembilan) mahu tamatkan penggal penuh dan hanya memanggil pilihan raya negeri pada Julai nanti,” katanya.

Ismail berkata kepimpinan tertinggi PH dijangka mengadakan perbincangan tidak lama lagi dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri yang dikuasai gabungan itu untuk memutuskan tarikh pembubaran DUN.

“Saya percaya tarikh pembubaran DUN akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat antara pimpinan tertinggi gabungan dengan Menteri Besar serta Ketua Menteri,” katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk membubarkan DUN dalam masa terdekat.

Aminuddin berkata kerajaan negeri mahu menumpukan perhatian kepada kelancaran pentadbiran negeri selepas PRU15.

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya negeri, Ismail berkata perkara itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi gabungan tersebut.

“Kami juga dalam proses memulakan perbincangan dengan pemimpin BN negeri mengenai kemungkinan kerjasama semasa pilihan raya negeri.

“Namun kata putus mengenai kerjasama itu akan datang daripada pucuk pimpinan PH,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment