KEMELUT takhta Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila barisan Exco kerajaan negeri mengisytiharkan bahawa proklamasi penurunan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar adalah sah, sekali gus mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yamtuan Besar yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Ismail Lasim, semalam, sebelum diumumkan menerusi kenyataan media kerajaan negeri hari ini.
Menurut kenyataan itu, proklamasi penurunan takhta bertarikh 19 April 2026 telah ditandatangani dan dimeterai dengan cop mohor oleh Undang Luak yang dianggap sah dan berkuat kuasa.
Barisan Exco berkata kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar merupakan prerogatif Undang Yang Empat, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) serta Perlembagaan Persekutuan.
Proklamasi itu, menurut mereka, kemudiannya disempurnakan selepas ditandatangani Ismail pada 3 Ogos lalu, selaras dengan Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
Kerajaan negeri turut mengesahkan proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin di bawah Perkara 11 UUTKNS bertarikh 19 April sebagai teratur dan sempurna selepas ditandatangani serta dimeterai oleh Undang Luak berkenaan.
Barisan Exco berkata keputusan itu dibuat bagi menjunjung ketetapan Undang Yang Empat serta menghormati prerogatif mereka yang termaktub dalam adat dan UUTKNS 1959.
Susulan itu, pentadbiran kerajaan negeri diarahkan mengambil tindakan segera bagi melaksanakan ketetapan berkenaan.
Dalam laporan hari ini, Malaysiakini turut melaporkan bahawa keputusan tersebut dibuat secara kolektif oleh barisan Exco yang bermesyuarat di bawah pimpinan Ismail.
Bagaimanapun, perkembangan terbaru itu berlaku ketika pertikaian mengenai kesahihan proklamasi berkenaan masih berlarutan.
Kemelut tersebut bermula pada bulan April lalu apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bersidang berhubung kedudukan Mubarak Thahak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Pada 19 April, empat Undang kemudiannya mengumumkan penurunan Tuanku Muhriz dan menamakan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tuanku Nadzaruddin, sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.
Pengisytiharan tersebut pada ketika itu tidak diiktiraf kerajaan negeri dan mencetuskan pertikaian mengenai kedudukan Undang terbabit serta tafsiran terhadap Perkara 10 UUTKNS.
Pertikaian berkenaan turut dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban oleh enam tokoh yang berkaitan dengan kemelut DKU.
Pada 5 Jun, Mahkamah Tinggi memberikan injunksi ad interim yang antara lain menghalang keenam-enam plaintif daripada memanggil atau mengadakan mesyuarat DKU, termasuk sidang khas yang dijadualkan ketika itu, selain mengekalkan status quo pentadbiran DKU sementara prosiding mahkamah berlangsung.
Dalam perkembangan berikutnya, empat Undang, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong mendakwa Ismail telah menandatangani dokumen yang melengkapkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz di Istana Laguna Biru, Port Dickson, pada 3 Ogos.
Ismail bagaimanapun kemudian mendakwa beliau menandatangani dokumen itu secara paksaan dan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Peguam yang mewakili Undang Yang Empat pula menafikan dakwaan berkenaan, dengan mengatakan tiada paksaan dikenakan terhadap Ismail dan beliau telah diberikan penjelasan mengenai alasan penurunan Tuanku Muhriz sebelum menandatangani dokumen itu.
Malah, sehari sebelum keputusan terbaru Exco diumumkan, Ismail dilapor menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Menurut beliau, kedudukan Yamtuan Besar dan proses berkaitan dengannya ditentukan secara khusus oleh UUTKNS 1959 dan tidak boleh diputuskan oleh Menteri Besar secara bersendirian.
Ismail juga berkata isu berkaitan Surat Cara Proklamasi perlu dinilai berdasarkan UUTKNS dan prinsip Raja Berperlembagaan, bukannya dianggap sebagai pertikaian politik atau peribadi.
Beliau menegaskan bahawa kewujudan sesuatu proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan.
Keputusan Exco hari ini bagaimanapun mengambil pendirian berbeza apabila ia menganggap proklamasi penurunan Tuanku Muhriz serta proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin telah memenuhi kehendak UUTKNS.
Barisan Exco turut menegaskan bahawa mereka menjunjung keputusan Undang Yang Empat dan akan mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakan ketetapan tersebut serta-merta.
-BTSMedia.my



