BTS Media

Dua Exco Negeri Sembilan digugurkan serta-merta selepas kontroversi proklamasi

DUA Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan mengesahkan menerima surat pembatalan pelantikan berkuat kuasa serta-merta, susulan kontroversi membabitkan keputusan kerajaan negeri berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar, mengesahkan beliau menerima surat berkenaan menerusi WhatsApp malam tadi, namun enggan mengulas lanjut mengenai sebab pembatalan pelantikannya.

Suhaimizan, yang memegang portfolio Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), turut berkata beliau tidak pasti siapa yang menghantar surat itu, selain menyatakan kemungkinan ia datang daripada pihak Istana.

Seorang lagi Exco, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd Fairuz Isa, turut mengesahkan menerima surat pembatalan pelantikan daripada pihak Istana Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan pengesahan daripada Exco lain yang mungkin terjejas belum berhasil.

Pembatalan pelantikan itu berlaku selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengambil tindakan terhadap anggota Exco susulan tindakan dan kenyataan yang dibuat pada 15 September, yang menurut Istana bercanggah dengan sumpah jawatan mereka.

Dalam kenyataan Istana Besar Seri Menanti malam tadi, Istana merujuk Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menetapkan bahawa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Semua anggota Exco sebelum ini telah mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos sebelum pelantikan rasmi mereka.

Antara perkara yang terkandung dalam sumpah itu ialah ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan institusi diraja, mempertahankan serta memelihara Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan mengakui kuasa yang diberikan kepada Dewan Keadilan dan Undang.

Tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan keputusan Mesyuarat Exco pada 15 September apabila semua anggota bersetuju untuk menerima dan mengesahkan Surat Cara Proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz serta mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri meneruskan proses pewartaannya.

Menteri Besar Ismail Lasim sebelum ini mengesahkan bahawa kerajaan negeri secara bersama memutuskan proklamasi berkenaan adalah sah.

-BTSMedia.my

Leave a Comment