KEMENTERIAN Luar memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia yang berada di daerah Rasuwa, Nepal, kini tidak dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda kawasan itu, namun setakat ini tiada pengesahan rasmi mengenai sebarang kematian melibatkan rakyat negara ini.
Menurut kementerian itu, pihaknya menerima laporan mengenai rakyat Malaysia yang gagal dihubungi daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan selepas banjir akibat limpahan Sungai Bhote Koshi pada 26 Ogos lalu.
Rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik yang terputus di kawasan terjejas berkemungkinan menjadi antara faktor yang menyukarkan usaha menghubungi mereka.
“Pada tahap ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kematian rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan banjir tersebut menyebabkan kerosakan teruk terhadap jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.
Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan walaupun akses ke beberapa kawasan terjejas amat terhad.
Kementerian Luar berkata Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan maklumat mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia terbabit.
Bagi memperkukuh tindak balas konsular, seorang pegawai dari misi Malaysia lain di rantau itu turut dikerahkan untuk membantu Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
Pada masa sama, kementerian mengaktifkan Bilik Gerakan di Putrajaya mulai tengah hari ini bagi menyelaras maklumat serta menyediakan saluran komunikasi terus kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan keluarga mereka.
-BTSMedia.my



