SERAMAI 11 rakyat Malaysia dipercayai berada di daerah Rasuwa, Nepal, tidak dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda kawasan berkenaan awal hari ini.
Kementerian Luar berkata laporan mengenai kehilangan hubungan itu diterima Kedutaan Malaysia di Kathmandu daripada agensi pelancongan yang memaklumkan mereka tidak dapat menghubungi 11 rakyat Malaysia terbabit.
Menurut kementerian, gangguan komunikasi berkenaan dipercayai berpunca daripada kerosakan teruk terhadap bekalan elektrik dan rangkaian komunikasi akibat limpahan Sungai Bhote Koshi pada awal hari Rabu.
Banjir itu turut menyebabkan kerosakan besar terhadap jalan raya, jambatan serta infrastruktur komunikasi di beberapa kawasan yang terjejas.
Kementerian Luar berkata Kedutaan Malaysia kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan pasukan mencari dan menyelamat yang dikerahkan kerajaan Nepal bagi mengesan kesemua rakyat Malaysia terbabit serta memastikan keselamatan mereka.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang berada atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya di kawasan berhampiran lokasi terjejas, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Mereka turut diminta mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi dan bantuan konsular sekiranya diperlukan.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau ketika kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Kathmandu menerusi talian kecemasan +977-980-100-8000 atau e-mel mwkathmandu@kln.gov.my.
-BTSMedia.my



