BTS Media

Bersatu pusat restu dua ADUN Pahang sokong Wan Rosdy, kerajaan negeri kini kukuh dengan 27 kerusi

SOKONGAN dua ADUN Bersatu Pahang kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mendapat restu kepemimpinan Bersatu pusat. Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri menjelang PRN akan datang.

ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin, dan ADUN Lepar, Datuk Mohd Yazid Mohd Yunus, sebelum ini menyatakan sokongan kepada Wan Rosdy dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan mereka terus menyokong pentadbiran Menteri Besar itu sehingga PRN akan datang, yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya awal 2028.

Perkembangan itu mendapat lampu hijau daripada kepemimpinan Bersatu di peringkat pusat selepas kedua-dua ADUN berkenaan terlebih dahulu memaklumkan hasrat mereka kepada parti.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengesahkan bahawa Biro Politik parti yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah membincangkan perkara itu dari pelbagai sudut dan pada prinsipnya merestui tindakan kedua-dua wakil rakyat berkenaan.

Menurut beliau, pendirian itu dibuat demi memastikan kestabilan politik di Pahang, selain menjamin kepentingan dan kebajikan rakyat di Kuala Sentul serta Lepar terus mendapat perhatian kerajaan negeri.

Jasri dan Yazid dalam kenyataan bersama turut menjelaskan bahawa persefahaman dengan Wan Rosdy bertujuan memastikan agenda pembangunan dan kebajikan di kawasan masing-masing tidak terabai.

Kedua-duanya juga menegaskan mereka akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat serta bekerjasama dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Wan Rosdy mengetuai kerajaan Pahang selepas PRN November 2022 menghasilkan DUN tergantung. Ketika itu, PN muncul sebagai blok terbesar dengan kelebihan satu kerusi berbanding BN.

Namun, kira-kira seminggu selepas pilihan raya, Wan Rosdy dilantik semula sebagai Menteri Besar untuk mengetuai kerajaan negeri hasil kerjasama BN dan PH.

Bersatu, sebagai sebahagian daripada PN, sebelum ini mempunyai dua kerusi dalam DUN Pahang, manakala PAS menguasai 15 kerusi.

Dengan sokongan Jasri dan Yazid, kerajaan pimpinan Wan Rosdy kini disokong 27 daripada 42 kerusi DUN Pahang.

-BTSMedia.my

Leave a Comment