BTS Media

Bersatu pecat 5 termasuk Wan Saiful, gantung Wan Fayhsal

BERSATU hari ini (14 Okt) telah memecat lima pemimpin, termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, kerana didakwa melanggar tata etika dan perlembagaan parti.

Parti itu juga menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk satu penggal.

Empat pemimpin lain yang dipecat kesemuanya merupakan ketua bahagian, iaitu Mohd Azrudin Mhd Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur), dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Lembaga disiplin Bersatu menjelaskan bahawa keputusan itu dicapai selepas menerima aduan bertulis daripada ahli, di mana siasatan dan sesi pendengaran pada 8 Oktober.

Menurut Bersatu, proses itu adalah “bebas, adil dan saksama,” berdasarkan Perkara 22.5 Perlembagaan parti, selepas individu terbabit didapati melanggar Perkara 9.1.4.

Lembaga itu turut mengingatkan semua ahli agar mematuhi peraturan parti dan memaklumkan pemimpin yang terjejas bahawa mereka boleh memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Pemecatan dan penggantungan ini berlaku di tengah-tengah spekulasi bahawa kumpulan tersebut terlibat dalam usaha mengumpul akuan bersumpah (SD) yang bertujuan untuk menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  – BTSMedia. My

Leave a Comment