BTS Media

Harap pada Anwar, bukan kekuatan sendiri: Wan Saiful kata UMNO lemah berbanding Bersatu

WAN Saiful Wan Jan menolak mentah-mentah cadangan seorang veteran UMNO agar Bersatu dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai UMNO.

Beliau menyifatkan pandangan tersebut sebagai “mimpi zaman dulu” yang sudah lapuk dan tidak relevan dengan realiti politik semasa.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu menegaskan bahawa cadangan sedemikian tidak sesuai untuk parti sebesar Bersatu, yang kini menjadi pemain utama dalam landskap politik negara.

Beliau berkata era politik baharu menyaksikan parti-parti politik membentuk gabungan dan bekerjasama bagi membentuk kerajaan.

“Kalau parti kecil mungkin sesuai pertimbang untuk bubar. Yang bercakap itu seorang veteran Umno…jadi pandangan itu pun memang menunjukkan sifat veteran yang sepatutnya dah pencen,” sindirnya dalam catatan di Facebook.

Wan Saiful turut mendakwa UMNO sebenarnya adalah parti yang lemah dan hanya mampu bertahan di bawah ehsan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa Bersatu mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang lebih besar berbanding UMNO, jika tidak disebabkan oleh tindakan “lompat parti” dan “lapar peruntukan”.

“Kita kena ingat kalau bukan disebabkan proses lompat dan lapar peruntukan, bilangan Ahli Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat lebih besar dari Umno,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa realiti politik hari ini adalah kerjasama antara pelbagai gabungan parti bagi membentuk kerajaan, sesuatu yang mungkin tidak difahami oleh veteran UMNO yang masih terperangkap dalam “mimpi zaman dulu”.

Kenyataan ini dibuat sebagai respons kepada Setiausaha veteran UMNO, Mustapha Yaakub, yang mencadangkan agar Bersatu dibubarkan dan kembali ke pangkuan UMNO, seperti yang berlaku kepada Semangat 46.

Walaupun Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin, menyebut tentang keterbukaan parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO atas dasar ideologi yang sama, tetapi UMNO, melalui Ahli Majlis Tertinggi, Ahmad Maslan pula berkata sebarang kerjasama perlu dimohon secara rasmi melalui surat agar dapat dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

Ahmad Maslan turut mengakui bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Hamzah adalah “perkara penting”.

-BTS Media

Leave a Comment