BTS Media

Wan Saiful tarik diri sebagai ketua penerangan Bersatu

Oleh Fetty Rara

WAN Saiful Wan Jan  mahu melepaskan jawatannya sebagai ketua penerangan Bersatu sehingga kes rasuahnya yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa selesai.

Beliau berkata hasratnya itu telah disampaikan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, setiausaha agung parti Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan majlis tertinggi parti itu.

“Saya mencadangkan supaya saya digantikan oleh pemimpin lain yang berkebolehan. Biar pucuk pimpinan yang tentukan,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Rabu (22 Feb).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata cadangannya itu selaras dengan prinsip perjuangannya.

“Ini akan membezakan saya dengan kluster mahkamah yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan. Saya sanggup melepaskan jawatan eksekutif saya sehingga nama saya dibersihkan di mahkamah,” katanya sambil menambah bahawa dia akan bertemu Muhyiddin tidak lama lagi berhubung perkara itu.

Wan Saiful, 48, didakwa atas tuduhan meminta rasuah sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (CH 0-CH 8050) daripada kerajaan melalui pra-kelayakan di mana jumlah keseluruhan bernilai RM232 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Royal Lake Club Kuala Lumpur pada April. Dia juga didakwa menerima suapan RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Nepturis Sdn Bhd.

Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu Nepturis mendapatkan surat penerimaan untuk projek Central Spine Road.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, Wan Saiful berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

-BTS Media

Leave a Comment