BTS Media

Perkhidmatan Isham jalil sebagai ketua penerangan BN Selangor ditamatkan

Isham Jalil memaklumkan bahawa perkhidmatannya sebagai ketua penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor telah ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

Bekas pegawai khas kepada Najib Razak itu berkata, berdasarkan surat yang ditandatangani oleh Setiausaha BN Selangor Satim Diman, jawatan yang disandangnya itu tidak termaktub dalam perlembagaan gabungan berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dan berjuang bersama saya sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai ketua penerangan BN Selangor.

“Perjuangan kita belum selesai, oleh itu saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan meneruskan perjuangan dan usaha ini walaupun saya tidak lagi berada dalam kepimpinan BN negeri,” katanya di Facebook.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus membantu jentera parti walaupun sebagai ahli biasa.

“Saya akan bantu sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa apa-apa jawatan dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini,” katanya.

Dalam hantaran itu, Isham turut melampirkan surat pemberitahuan yang menjelaskan penamatan jawatannya sebagai ketua penerangan BN Selangor itu turut dipersetujui Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Isham dilantik sebagai ketua penerangan BN Selangor pada Mei 2020 menggantikan bekas Ahli Parlimen Sabak Abd Rahman Bakri.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/08/isham-jalil-dilucut-jawatan-ketua-penerangan-bn-selangor/ 

 

 

Leave a Comment