BTS Media

Dua ADUN BERSATU sokong kepimpinan Wan Rosdy hingga PRN ke-16

DUA ADUN BERSATU sokong kepimpinan Wan Rosdy hingga PRN ke-16

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU, Datuk Jasri Jamaludin (Kuala Sentul) dan Mohd Yazid Mohd Yunus (Lepar), menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Dalam kenyataan bersama semalam, kedua-dua ADUN berkenaan berkata pendirian itu dipersetujui pucuk pimpinan BERSATU dengan mengambil kira keperluan menjamin kestabilan politik di Pahang serta memelihara kebajikan rakyat di kawasan yang mereka wakili.

Mereka berkata, hasil muafakat yang dicapai bersama Menteri Besar, mereka percaya pembangunan dan kesejahteraan rakyat di DUN Kuala Sentul dan Lepar akan diberikan tumpuan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Kedua-duanya turut menyatakan komitmen untuk terus melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat serta bekerjasama dengan pentadbiran negeri bagi memastikan pembangunan, kebajikan dan kepentingan rakyat Pahang terus terpelihara.

Menurut mereka, dalam keadaan politik yang dinamik, kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan kelangsungan pentadbiran yang baik perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Kenyataan itu ditandatangani Jasri dan Mohd Yazid bertarikh 26 Ogos 2026.

BTSMedia.my

Leave a Comment