BTS Media

Dua pemandu jadi ‘marshal’ konvoi supercar ditahan, trafik disekat

DUA pemandu kereta ditahan polis selepas bertindak sebagai ‘marshal’ tidak bertauliah menghalang aliran trafik bagi memberi laluan kepada sebuah konvoi kereta mewah di Bulatan Lebuh Kota Iskandar, Johor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya @ Yahaya berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan semalam oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) daerah.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas rakaman video kejadian tersebut tular di platform Threads kira-kira pukul 6.16 petang semalam, selain menerima aduan daripada orang awam.

Beliau berkata, sepasukan anggota BSPT Iskandar Puteri kemudian menjalankan operasi bagi mengesan individu yang dipercayai terbabit.

Hasil siasatan mendapati konvoi kereta berprestasi tinggi itu dalam perjalanan dari Puteri Harbour menuju ke pusat bandar Johor Bahru ketika kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai ‘marshal’ dengan memberhentikan kenderaan lain di lokasi berkenaan bagi membolehkan konvoi berkenaan melintasi persimpangan.

Saifullah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 110 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan menghalang dan mengganggu lalu lintas, yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 jika sabit kesalahan.

Katanya, polis turut mengeluarkan empat saman atas pelbagai kesalahan termasuk ketidakpatuhan terhadap spesifikasi kenderaan, manakala kenderaan yang terbabit disita untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang bertindak sebagai pengiring konvoi tanpa kebenaran sehingga menghalang lalu lintas atau memberhentikan pengguna jalan raya lain.

Tindakan sedemikian, katanya, bukan sahaja menyalahi peraturan malah boleh membahayakan keselamatan pelaku dan pengguna jalan raya lain.

-BTSMedia.my

Leave a Comment