BTS Media

Dua beradik dirantai kaki diselamatkan, dua termasuk ibu mangsa ditahan

KANGAR: Tiga remaja lelaki dipercayai mangsa dera diselamatkan orang awam selepas ditemui dalam keadaan tidak bermaya di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusof, dua daripada mangsa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dirantai di bahagian kaki manakala seorang lagi tidak dirantai.

Beliau berkata, seorang lelaki memberitahu ada terjumpa tiga kanak-kanak lelaki dirantai di kaki berada di tepi titi Jalan Kampung Tambun Tulang, menghala ke Utan Aji.

Mangsa berusia antara 13 hingga 16 tahun ditemui sekitar jam 11.55 malam.

“Dua daripada mangsa adalah OKU ditemui dengan keadaan kaki mereka dirantai dengan besi manakala seorang remaja tidak dirantai dan dijumpai oleh orang awam yang melalui Jalan Kampung Tambun Tulang menghala Ke Utan Aji di Simpang Empat.

“Kita percaya tiga mangsa ini adalah adik beradik berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun dan dua daripada mereka ini memiliki kad OKU.

“Mangsa dipercayai dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya percaya bahawa remaja ini melarikan diri dari rumah mereka kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian.

“Kita bagaimanapun belum peroleh maklumat kerana mereka enggan bercakap dan mangsa kini menjalani pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

“Hasil keterangan awal ibu kepada remaja itu pula menyatakan sikap ketiga-tiga anak ini agak sukar dikawal menyebabkan ibunya bertindak merantai mangsa,” katanya.

Yusharifuddin berkata, mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan stabil serta tidak menunjukkan sebarang trauma atau ketakutan.

“Susulan itu kita menahan dua suspek iaitu ibu mangsa berusia 46 tahun dan seorang lelaki yang belum diketahui pertaliannya berusia 31 tahun untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua di reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Mac bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Remaja berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis selepas rawatan mereka selesai.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1081636/dua-beradik-dirantai-kaki-diselamatkan-dua-termasuk-ibu-mangsa

Leave a Comment