KEGIATAN seorang lelaki yang didakwa menjadi pengutip parkir haram di Jalan Hujan, Taman OUG, berakhir selepas dia ditahan polis susulan pertengkaran dengan anggota penguat kuasa.
Lelaki terbabit sebelum itu dipercayai terus menjalankan kegiatan mengutip bayaran parkir walaupun sudah dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa lain.
DBKL telah mengeluarkan notis kepada lelaki berkenaan pada 4 Ogos supaya menghentikan operasi, namun arahan itu tidak dipatuhi.
DBKL bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) turut menjalankan pemeriksaan di lokasi pada hari sama sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
Bagaimanapun, lelaki itu tetap meneruskan kegiatan berkenaan.
Keadaan kemudian menjadi tegang apabila lelaki terbabit berdepan dengan anggota penguat kuasa dan menyerang seorang anggota Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Seputeh.
Rakaman video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan berdepan dengan anggota penguat kuasa sebelum polis tiba di lokasi dan menahannya.
Tindakan berkenaan turut mendapat sokongan pengguna media sosial yang menggesa penguatkuasaan sama dipertingkatkan terhadap kegiatan pengutip parkir haram di lokasi lain di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Antara komen yang diterima termasuk pujian terhadap tindakan pihak berkuasa, selain gesaan supaya operasi penguatkuasaan tidak terhenti setakat satu lokasi kerana kegiatan pengutip parkir haram didakwa masih berleluasa.
Seorang pengguna turut meminta tindakan serupa diperluaskan ke kawasan lain di Kuala Lumpur bagi membanteras operasi parkir haram yang dikatakan semakin meluas.
-BTSMedia.my



